Satelit pemangkin sistem komunikasi

Satelit pemangkin sistem komunikasi

By Xtechnology®Network

Kalau anda menonton filem Transformer: Revenge of the Fallen pasti boleh mengingati robot dari Decepticon yang cuba mengawal komunikasi bumi dengan menggodam satelit ketika awal babak filem terbabit.
Kenapa ia dilakukan?
Jelas, satelit memainkan peranan penting dalam sistem komunikasi dan boleh dikatakan nyawa penduduk di bumi yang bergantung kepada penggunaannya sama ada untuk tujuan komunikasi, keselamatan, hiburan dan sebagainya.
Secara umumnya, satelit adalah objek berputar di angkasa mengelilingi objek lain yang lebih besar seterusnya mengekalkan posisi dalam graviti objek tersebut.
Ia berdasarkan konsep astronomi dengan merujuk keadaan bulan dan matahari yang mengelilingi bumi sebagai ‘satelit’ asli sedia ada.
Konsep astronomi terbabit yang mendatangkan idea penciptaan satelit buatan manusia yang mengelilingi bumi bagi tujuan komunikasi seterusnya menempa satu lagi pembaharuan dalam perkembangan ketamadunan manusia.
Satelit dengan capaian komunikasi serantau diperkenalkan pada 1960 dengan memantulkan transmisi sehala melalui ECHO 1 sementara pelopor generasi satelit baru dimulakan pada 1962 apabila TelStar yang mempunyai pemancar penerima serta penghantar isyarat diperkenalkan.
Bercakap soal penerimaan isyarat, satelit mampu menghantar isyarat pada gelombang rendah membolehkan penerimaannya di bumi melalui perkakasan penerima menjangkau liputan meluas ke pelusuk dunia.
Jadi, tidak hairanlah kalau dikatakan satelit sebagai jawapan kepada persoalan sambungan liputan di kawasan pedalaman terutama membabitkan perkampungan yang sukar dijangkau sistem komunikasi lain.
Menurut Agensi Angkasa Negara (Angkasa), satelit buatan manusia yang pertama mengorbit bumi ialah Sputnik 1, dibina oleh Soviet Union dan dilancarkan pada 4 Oktober 1957.
Sputnik mempunyai orbit yang berbentuk bujur dan bergerak pada altitud di antara 225 hingga 950 kilometer (km).
Sepanjang berada di orbit, ia menyiarkan isyarat bip selama 21 hari sebelum terbakar di atmosfera bumi pada 4 Januari 1958.
Satelit memerlukan teknologi yang unik dan tahan lasak bagi membolehkannya bertahan semasa proses pelancaran dan menghadapi persekitaran angkasa yang ekstrim.
Satelit juga perlu membawa sumber tenaganya sendiri kerana ia tidak dapat menerimanya dari bumi.
Ia harus mengekalkan orientasinya atau menghadap pada arah yang tertentu bagi menjayakan misinya selain perlu mengekalkan suhu bersesuaian ketika berada dalam keadaan panas matahari dan cuaca sejuk ruang angkasa.
Malah, satelit perlu berupaya bertahan dengan tahap radiasi yang tinggi dan pelanggaran dengan mikrometeoroid.
Kebanyakan satelit dilengkapi dengan perkomputeran dipasang siap bagi mengawal operasi dan misinya.
Terdapat pelbagai jenis satelit yang dihantar ke angkasa seperti satelit komunikasi, satelit navigasi, satelit cuaca dan satelit pencerapan bumi.
Satelit yang mengorbit bumi boleh memberikan data untuk pemetaan bumi, menentukan bentuk dan saiz bumi serta mengkaji dinamik lautan dan atmosfera.
Saintis juga menggunakan satelit untuk mencerap matahari, bulan, planet dan bulan, komet, bintang dan galaksi seperti dilakukan Hubble Space Telescope yang dijadikana pencerap am dilancarkan pada 1990.
Bukan itu saja, sesetengah satelit saintifik turut mengorbit objek lain seperti dilakukan Mars Global Surveyor yang mengorbit planet Marikh.
Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pernah mendapatkan bantuan satelit milik Amerika Syarikat iaitu MODIS (Moderate Resolution Emerging Spectro Radiometer) dan National Oceanomic Atmosphere Administrator (NOAA) bagi mendapatkan maklumat mengenai keadaan cuaca di negara ini
Kelebihan itu digunakan apabila ia mempunyai keupayaan sederhana mendapatkan imej jelas keluasan kawasan yang terbakar dan pergerakan udara yang mengandungi jerebu bergerak dari pulau Sumatera terus ke Semenanjung.
Melalui Pusat Pencerapan Bumi (EOC), UKM menjalankan pemantauan dan penyelidikan berkaitan perubahan guna tanah di Asia Tenggara meliputi alam sekitar, geologi, kajian impak sesuatu kejadian dan kajian sumber air.
Kita juga mampu meningkat kekuatan tentera sekiranya memanfaatkan satelit pengintip seperti dilakukan India yang melancarkan satelit pengintip buatan ke ruang orbit bertujuan meningkatkan keupayaan pemantauan selepas serangan pengganas di Mumbai.
Satelit pengintip Risat-2 akan memantau terutama kawasan sempadan India bagi membantu operasi anti pengganas dan anti penyusupan.
Kemajuan teknologi satelit terbabit dijangka berada di ruang orbit selama tiga tahun yang boleh melihat menembusi awan dan memantau keadaan banjir, taufan dan pengurusan bencana.
Sektor pertanian pun mampu mendapat tempias manfaat apabila pemetaan menerusi satelit yang lebih jitu berupaya menetapkan sumber tanah secara bersepadu apabila ia diselaraskan dengan teknologi penderiaan jauh (RS) menggunakan teknik optik dan radar.
RS didefinisikan sebagai sains mendapatkan maklumat permukaan bumi tanpa menyentuh dengan menggunakan imej pemantulan objek di permukaan bumi melalui satelit.
Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) adalah contoh organisasi yang menggunakan gabungan RS dan satelit Landsat 7 ETM bagi menyediakan peta guna tanah tanaman sawit di Malaysia.
Adanya informasi keluasan dan penyebaran tanaman sawit terkini dapat meningkatkan keberkesanan pengurusan sumber sawit berkekalan.
Seterusnya, tidak dilupakan fungsi satelit sebagai sumber hiburan seperti heboh dengan frasa kata TV Satelit sejak dekad ini yang mampu memberikan ratusan saluran seperti dilihat melalui Astro.

 

Pemacu Optikal

Terdapat dua kategori storan optikal iaitu CD dan DVD yang terbahagi kepada beberapa jenis iaitu CD-R, CD-RW, DVD-RAM, DVD+RW dan DVD-RW. Storan optikal ini popular kerana ia mudah digunakan dan serasi untuk semua jenis PC yang mempunyai pemacu CD atau DVD.

CD

Tidak semua jenis CD merupakan media baca-sahaja. Kini terdapat juga pemacu CD-RW atau CD-R yang membolehkan anda merekod data anda kepada CD. CD-R membenarkan anda menulis data digital kepada cakera CD-R sekali sahaja dan anda tidak boleh memadam atau menulis data buat kali kedua. Pemacu CD-RW pula membenarkan anda menulis data kepada cakera CD-RW seberapa banyak kali yang anda mahu dan menulis kepada cakera CD-R sekali sahaja.

Pemacu CD-RW adalah agak mahal sedikit daripada pemacu ORB dan ia berharga di antara RM550 hingga RM1,600 bergantung kepada model dan pengeluarnya. Media untuk CD-R dan CD-RW adalah murah iaitu kira-kira RM3.00 untuk cakera CD-R dan kira-kira RM8 hingga RM10 untuk cakera CD-RW.

Kelajuan pemacu CD-RW melakukan perpindahan data bergantung kepada setiap model. Untuk menentukan kadar perpindahan data sesebuah pemacu anda perlu lihat pada kelajuan putaran seperti 1X, 10X, 12X dan ada sehingga 52X. Pada kelajuan 1X kadar perpindahan data ialah 150KBps, dengan itu lebih tinggi kelajuan putaran lebih tinggi kadar perpindahan data. Contohnya pemacu 2X mempunyai kadar perpindahan data sebanyak 300KBps dan 32X pula ialah pada 4,800KBps.

Pemacu-pemacu ini mempunyai lebih daripada satu kelajuan putaran iaitu kelajuan putaran ketika pemacu membaca dan kelajuan putaran ketika data ditulis. Contohnya pemacu Creative Labs CD-RW Blaster 12-10-32 mempunyai keupayaan membaca data pada 32X, menulis kepada CD-R pada 12X dan menulis kepada CD-RW pada 10X.

Pemacu CD-RW hanya boleh menanggung 650MB pada satu cakera iaitu lebih rendah daripada Jaz dan ORB. Dengan itu ia tidak boleh menyimpan video yang banyak tambahan pula harganya adalah menyamai Jaz. Namun begitu CD-RW boleh dibaca oleh sebarang pemacu CD dan DVD yang ada pada sebarang jenama komputer dan ia juga mudah disimpan serta ringan untuk dibawa.

DVD

DVD juga mempunyai media yang boleh ditulis dan menyimpan data dengan banyak. Pemacu DVD-R boleh digunakan untuk pengguna yang mahu menyimpan data dalam jumlah yang amat besar. Sehingga kini terdapat tiga jenis DVD boleh rakam iaitu DVD-RAM, DVD+RW dan DVD-RW. Malangnya setiap standard hanya boleh digunakan pada medianya yang tersendiri sahaja dan tidak boleh bertukar-ganti atau berkongsi media.

DVD boleh menyimpan data dalam jumlah yang besar iaitu daripada 4.7GB hingga 17GB. Ini boleh kerana pemacu DVD boleh mengendalikan data pada cakera DVD dengan baik dan cekap pada kedua-dua belah cakera. Cakera DVD boleh rakam pula mempunyai storan yang kecil sedikit contohnya DVD-RAM hanya boleh menyimpan sejumlah 5.2GB hingga 9.4GB data pada kedua-dua belah cakera.

Kadar perpindahan data juga adalah lebih pantas berbanding dengan pemacu CD. Kadar perpindahan data bagi sebuah pemacu DVD iaitu 1,350KBps untuk 1X. Dengan itu kebanyakan pemacu mempunyai 2X kelajuan bacaan dan 1X kelajuan menulis. Pemacu DVD juga sesuai untuk penyimpanan fail grafik dan video kerana saiz storannya yang besar dan kadar perpindahan data yang tinggi. Manakala harga sebuah pemacu DVD adalah di antara RM1,200 hingga RM3,100 dan harga cakera pula adalah di antara RM70 hingga RM120 sekeping.

Storan di Internet

Satu lagi storan yang semakin popular ialah storan dalam talian di Internet. Anda boleh menyimpan bukan sahaja video dan gambar grafik tetapi juga lagu-lagu MP3 dan fail-fail dokumen. Malah terdapat juga gerbang web storan yang menyediakan kemudahan capaian untuk pengguna lain yang mendapat kebenaran daripada anda.

Antara storan percuma yang terdapat di dalam internet ialah MySpace.com yang menyediakan sejumlah 300MB ruang storan, Driveway untuk 25MB storan, Xdrive untuk 100MB storan, idrive untuk 50MB storan dan FreeDrive untuk 50MB storan.

Kesejahteraan storan

Storan merupakan salah satu komponen penting dalam penggunaan dan penyimpanan data. Tidak kira apakah jenis data yang digunakan atau yang hendak disimpan storan adalah satu media yang utama bagi pengguna. Tanpa storan dalaman atau luaran data pasti tidak akan dapat disimpan dan diarkibkan dengan baik. Anda boleh memilih untuk menggunakan cakera keras atau CD-R atau CD-RW atau DVD-R atau DVD+RW atau Jaz atau Zip atau ORB untuk menyimpan data-data anda. Tepuk dada tanyalah selera.

Pemacu magnetik mudahalih

SuperDisk

Pemacu SuperDisk daripada Imation adalah pesaing terdekat kepada pemacu Zip. Pemacu SuperDisk mempunyai kapasiti sebanyak 120MB dan ia mempunyai saiz yang sama dengan disket 1.44MB. anda juga boleh menggunakan disket 1.44MB dalam pemacu SuperDisk.

Harga pemacu SuperDisk adalah berpatutan dan ia sesuai untuk storan grafik. Harga pemacu SuperDisk ialah kira-kira RM400 dan cakeranya berharga kira-kira RM40 setiap satu. Walaupun ia sesuai untuk grafik tetapi ia tidak mampu menanggung video yang berat. Kadar perpindahan data ialah 1.1MBps iaitu lebih kurang sama dengan pemacu Zip.

Jaz

Pemacu Iomega Jaz adalah lebih besar dan lebih pantas berbanding dengan Zip. Pemacu Jaz boleh menyimpan 1GB dan 2GB setiap cakera. Oleh kerana ia mempunyai kapasiti yang besar ia menawarkan pilihan yang baik untuk pengguna komputer yang memerlukan storan untuk video dan fail grafik. Jaz 2GB boleh menyimpan sehingga 2,000 foto, 3.2 jam muzik dan 40 minit video berkualiti tinggi.

Pemacu Jaz juga mempunyai kelajuan yang baik iaitu 10ms ketika membaca data dan 12ms ketika menulis data. Kadar perpindahan data ialah 8MBps iaitu dua kali ganda lebih laju daripada pemacu Zip dan SuperDisk. Namun begitu harga pemacu Jaz lebih tinggi daripada Zip dan SuperDisk. Pemacu 2GB berharga lebih kurang RM950 manakala harga medianya pula adalah kira-kira RM290.

ORB

Pemacu ORB daripada Castlewood Systems merupakan sebuah lagi storan luaran yang besar iaitu 2.2GB dan ia lebih besar daripada Jaz. Harga ORB pula ialah kira-kira RM540 dan medianya pula berharga kira-kira RM95.

Pemacu ORB menggunakan teknologi MR (Magnetoresistive) yang membolehkan data dikumpulkan dengan banyak pada katrij 2.2GB ORB. Ia mempunyai kadar perpindahan data pada 12.2MBps (lebih laju daripada Jaz) dan ia mempunyai keupayaan video dan imej yang baik. ORB mempunyai keupayaan storan 2 jam video dan lebih 2,000 foto. Pengeluar ORB juga akan mengeluarkan modul untuk VCR dan kamera video untuk merakam video digital pada cakera ORB.

Pemacu magnetik mudahalih

Terdapat dua jenis pemacu mudahalih berkapasiti tinggi iaitu optikal dan magnetik. Pemacu optikal adalah seperti pemacu CD dan DVD di mana penggunaan cahaya laser untuk membaca dan menulis kandungannya. Cakera ini mempunyai jangka hayat yang lebih panjang daripada cakera magnetik di mana maklumat digital ditulis secara magnetik di permukaan media. Storan media jenis ini mempunyai masa hadapan yang cemerlang di mana pasaran CD-RW meningkat sebanyak 93% pada tahun 2000 dan pemacu DVD boleh-rekod pula meningkat 213% kepada sejumlah 847,000 pemacu. Manakala pasaran media magnetik pula adalah bergantung kepada pengguna dan jenama-jenama seperti Zip, Jaz dan ORB pasti mendapat tempat. Contohnya jumlah pemacu Zip telah mencapai 32 juta unit sejak 5 tahun lalu.

Zip

Pemacu Iomega Zip merupakan penguasa pasaran storan magnetik mudahalih dan ia mempunyai kapasiti sejumlah 100MB dan 250MB yang menggunakan pemacu berkeupayaan membaca kapasiti cakera tertentu sahaja. Pemacu Zip 100MB hanya boleh membaca cakera 100MB sahaja tetapi pemacu 250MB boleh membaca cakera 100MB dan 250MB.

Walaupun cakera Zip hanya boleh digunakan dengan pemacu Zip sahaja dan tiada pengeluar lain yang boleh mengeluarkannya tetapi anda boleh menggunakannya tanpa ragu kerana ia sungguh popular. Pemacu Zip juga murah harganya berbanding dengan storan lain, harga pemacu Zip 100MB ialah kira-kira RM480 dan pemacu 125MB pula kira-kira RM670. Manakala cakera 100MB berharga lebih kurang RM35 dan cakera 250MB berharga kira-kira RM65.

Pemacu Zip merupakan pilihan yang baik untuk menyimpan gambar-gambar dan fail grafik ke luar daripada cakera keras. Tetapi pemacu Zip tidak sesuai untuk disimpan fail-fail video kerana saiznya yang agak terhad dan kadar operasi pemacu adalah perlahan iaitu 1.4MBps untuk 100MB dan 2.4MBps untuk 250MB.

STORAN ALTERNATIF

Storan alternatif

Penggunaan peranti-peranti peribadi seperti kamera digital, kamera video digital dan pengimbas memerlukan ruang cakera keras yang banyak dalam komputer kerana imej-imej yang hendak disimpan adalah besar. Seminit video memerlukan kira-kira 15MB ruang cakera keras dan sebuah foto digital dengan resolusi 2400 x 1800 piksel memerlukan kira-kira 1MB. Bayangkan jumlah ruang yang diperlukan jika anda mahu menyimpan video dan foto yang banyak.

Walaupun cakera keras merupakan storan yang baik dan pantas tetapi cakera keras hanya sesuai untuk perisian yang disimpan di dalamnya. Hanya segelintir perisian sahaja yang boleh mengendalikan grafik dan video yang disimpan dalam cakera keras anda.


Anda perlukan storan sekunder alternatif supaya anda boleh memindahkannya dan menggantikan dengan katrij baru, cakera atau disket baru. Biasanya anda menggunakan pemacu disket 1.44MB dan kini ia tidak memberikan ruang yang banyak untuk fail-fail imej dan teks yang panjang. Kini anda bernasib baik dan mempunyai beberapa pilihan storan yang banyak dan anda boleh mempunyai ruang yang luas untuk menyimpan gambar dan video. Kemudian pilihan anda bergantung kepada jumlah wang yang anda mampu belanjakan untuk mendapatkan jenis storan yang baik dan juga jumlah kapasiti yang anda mahu. Lebih besar kapasiti lebih mahal harganya dan lebih baik keupayaan storan lebih mahal juga harganya.

Xtechnology-Games.BlogSpot.Com

Designed by cybertrone computer centre | Bloggerized by Fendy Authorised Dealer